I'll Forget You
Kyu Won pulang dengan hati yang berkecai. Sejak dari itu dia telah membuat keputusan untuk memadamkan perasaannya terhadap Shin. Selepas sehari dia tidak ke kuliah kerana demam, dia kembali dengan semangat baru walaupun hatinya belum pulih sepenuhnya. Dia menemui Shin untuk memulangkan rantai yang telah ditemuinya dan kemudian mengatakan kepada Shin bahawa mulai dari saat itu dia tidak akan menaruh perasaan buat Shin lagi. Shin hanya berdiam walaupun kelihatan sedikit terperanjat.
Professor Hong meminta Shin membantunya mengubah sebuah lagu remix yang akan menggandingkan bandnya, The Stupid dengan band Kyu Won, Windflowers. Kyu Won telah diminta untuk mengajar Shin serba sedikit tentang muzik tradisional. Walaupun agak berat untuk menerima tanggungjawab itu, Kyu Won tetap berkelakuan dan bergembira seperti biasa. Shin tahu Kyu Won sedang memaksa dirinya. Dia mulai mengambil berat ke atas diri Kyu Won.
Kyu Won bersetuju menyertai ujibakat untuk watak utama setelah dipujuk Seok Hyun. Malangnya, datuk Kyu Won terjumpa beberapa kertas berkaitan dengan persembahan tersebut lalu naik berang setelah mengetahui cucunya terlibat dalam aliran selain muzik tradisional. Keesokkan harinya, hari ujibakat dijalankan, Kyu Won telah dikurung di dalam bilik oleh datuknya. Seok Hyun terus pergi ke rumah Kyu Won sebaik mendapat tahu berita itu. Namun datuk Kyu Won enggan membenarkan Kyu Won berjumpa Seok Hyun. Pada masa yang sama, Shin juga terdengar berita itu. Dia segera pulang dan mendapat idea bagaimana membawa Kyu Won keluar dari biliknya. Atas bantuan adik Shin, Kyu Won berjaya keluar dan Shin menawarkan diri untuk menghantar Kyu Won menaiki basikal.
Akhirnya Kyu Won sampai tepat pada masanya. Kyu Won menyampaikan sebuah lagu sambil airmatanya jatuh. Persembahannya telah memukau kebanyakan orang di situ. Akan tetapi dia telah kalah di tangan Hee Joo yang banyak mendapat undian daripada juri. Selesai ujibakat, Shin menemui Kyu Won yang sedang berbual dengan Seok Hyun. Dia mengingatkan Kyu Won untuk pulang bertemu dengan datuknya. Dia menawarkan diri menghantarnya tapi Kyu Won menolak. Sebaliknya dia menerima pelawaan Seok Hyun untuk menghantarnya pulang. Mereka kemudian meninggalkan Shin yang kelihatan tidak senang.








No comments:
Post a Comment