Lee Hwa tidak dapat menerima kenyataan lalu segera beredar meninggalkan Yutaka dan Miri. Yutaka menjelaskan perkara sebenar kepada Miri. Namun Miri tidak dapat menerima hakikat bahawa ibunya telah meninggalkan dia kerana ingin berkahwin dengan orang lain. Perasaannya mulai berubah terhadap ibunya yang selama ini sangat dinantikan kini bertukar dengan kebencian. Rantai pemberian ibunya yang disimpan selama ini telah dibuang.
Lee Hwa dipenuhi seribu kekesalan. Dia menangis menatap gambar Miri sewaktu kecil. Dia masih tidak dapat menerima hakikat Miri adalah anak kandungnya. Dia menyalahkan suaminya di atas apa yang telah terjadi. Jika dia tidak berkahwin dengan Presiden Lee, dia tidak akan meninggalkan anaknya sehingga telah menjadi seorang pelacur dan penipu. Sewaktu meminta cerai daripada suaminya, Lee Hwa pengsan. Dia koma selepas menjalani pembedahan akibat hentakan di kepalanya.
Myung Hoon berkeras memikul tanggungjawab atas kesalahan Miri seorang diri. Dia menemui Miri dan memberitahu bahawa dia sahaja yang akan bertanggungjawab ke atas semua tuduhan jenayah yang dilakukan Miri. Miri hanya mampu memohon maaf daripada Myung Hoon.
Berita mengenai skandal Miri dan juga terbaru mengenai hubungannya dengan Lee Hwa telah mendapat liputan seluruh media membuatkan Yutaka terpaksa melakukan satu sidang akhbar bagi menjelaskan perkara sebenar kepada media. Miri tetap dengan keputusannya meninggalkan tempat itu walaupun sudah mengetahui siapa ibunya. Hee Joo memujuk Miri menjenguk ibunya di hospital. Namun Miri enggan dan mengatakan dia tidak mempunyai ibu.
Hirayama memberi amaran kepada Yutaka agar tidak membuat Miri sehingga ditangkap polis dan dipenjara. Akan tetapi, dalam sidang akhbar itu, Yutaka telah mengatakan dia akan membiarkan Miri dijatuhi hukuman kerana hanya itu saja yang terbaik untuk Miri menyedari kesalahannya. Hirayama bengang lalu membawa Miri lari menaiki bot yang bersedia menunggu mereka. Yutaka mendapat panggilan daripada Hee Joo memberitahu Miri dibawa lari oleh Hirayama. Yutaka segera mengejar mereka. Sewaktu bertemu di Jeti, pergaduhan berlaku antara Yutaka dan Hirayama. Miri yang tidak tahan melihat Yutaka dipukul telah mengugut mereka untuk membunuh dirinya sendiri. Akan tetapi, Miri telah tergelincir ke dalam sungai.








No comments:
Post a Comment