MISS RIPLEY - Episode 14

SINOPSIS

Lee Hwa pergi ke bank dan mengambil dokumen identiti lamanya. Kebetulan Yutaka juga berada di sana menemui seseorang untuk berbincang mengenai siasatan ke atas ibu Miri. Mereka masih gagal menjejaki ibu Miri. Sewaktu beredar, Yutaka terdengar seseorang memanggil dengan nama ibu Miri. Dia terperanjat sebaik menoleh dan mendapati orang yang dipanggil dengan nama ibu Miri adalah ibu tirinya, Lee Hwa. Sejak itu, Yutaka yakin Lee Hwa adalah ibu Miri.

Untuk membuktikan lagi kebenaran, dia memberanikan diri bertanya kepada ayahnya sendiri. Ayahnya kemudian menceritakan perkara sebenar kepada Yutaka. Lee Hwa terpaksa meninggalkan anak perempuannya untuk mengahwini ayah Yutaka. Nenek Yutaka tidak mahu Lee Hwa membawa anak perempuannya masuk ke dalam keluarga itu untuk kepentingan Yutaka. Yutaka berasa sangat bersalah setelah mengetahui kisah sebenar. Dia menyalahkan dirinya dengan apa yang telah terjadi kepada kehidupan lampau Miri sehingga menjadikan dia seperti sekarang.

Miri telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat berhubung dengan kesnya memalsukan dokumen pendidikan dan beberapa pemalsuan lain. Walaupun dilarang Lee Hwa, Yutaka tetap membantu Miri dengan menghantar peguamnya membebaskan Miri. Seluruh media telah digemparkan dengan berita tentang masa lampau Miri yang pernah bekerja sebagai GRO. Sementara itu, Myung Hoon bersedia untuk menyerah diri kepada polis dan memberi keterangan mengenai Miri memandangkan dialah orang yang telah membawa Miri ke tahap itu.

Miri mengambil keputusan meninggalkan Yutaka dan tempat itu. Sebelum pergi, dia meninggalkan sepucuk surat memohon maaf kepada Yutaka. Miri kemudian pergi ke gereja menemui biarawati yang pernah menjaganya sewaktu tinggal di rumah anak yatim. Miri terpaksa menunggu kerana biarawati itu dikunjungi tetamu lain iaitu Lee Hwa. Pada masa yang sama, Yutaka juga sedang menuju ke gereja tersebut. Biarawati tersebut meminta Lee Hwa menemui anaknya yang dikhabarkan akan berada di situ. Namun Lee Hwa enggan. Dia tidak sanggup berdepan dengan anaknya yang telah ditinggalkannya selama berpuluh tahun.

Sesampai Yutaka di situ, dia bertembung dengan Miri di hadapan gereja di mana Lee Hwa ingin beredar. Biarawati sebelum itu telah memberitahu Lee Hwa, seorang lelaki mengatakan tunangnya adalah anak kepada Lee Hwa. Biarawati tidak tahu Yutaka adalah anak tiri kepada Lee Hwa. Sebaik Yutaka berhadapan dengan Lee Hwa dan biarawati itu, semuanya telah terbongkar. Lee Hwa sangat terkejut mendapat tahu Miri adalah anaknya.



























































































No comments:

Post a Comment